INSPIRASI

INSPIRASI
SURAH

Jumaat, 10 April 2015

AMALAN YANG TERPINGGIR

Amalan yang terpinggir
Assalamualaikum, salam sejahtera, selamat pagi, semoga semuanya sihat dan dipermudahkan segala urusan. Amin.
Sapaan begini sudah semakin lupus sekarang. Budaya menyapa sesiapa sahaja yang ditemui, kurang diamalkan generasi kini.
"Assalamualaikum Yang (emak ), awal Yang bangun. Yang tak tidur ke."
Menyapa emak di awal pagi, insan pertama berjumpa hari itu di era 70an - 90an.
Sekarang, yang diambil dan disapa adalah orang jauh, kenalan melalui gajet.
Sepanjang perjalanan ke tempat kerja atau sekolah, singgah di gerai atau minum di kedai. Melihat keadaan sekeliling. Ada tukang sapu majlis bandaran, menjalankan rutin hariannya.
"Tumpang lalu. Terima kasih" disertai senyuman mesra.
Senyum kembali sambil mengangguk, terus kembali menjalankan tugas.
"Selamat pagi puan, ada boleh saya bantu" menyapa pelanggan perkhidmatan awam.
"Ya, boleh. Tempat ini di mana." Menunjukkan sekeping kertas.
Memberi penerangan diminta sejelas- jelasnya dengan senyuman. Sedangkan itu bukan tempat kerja kita. Kita juga mendapat perkhidmatan di situ.
"Assalamualaikum. Selamat pagi encik. Boleh saya tahu di mana bilik rawatan susulan." Bertanya sambil senyum mesra.
Membalas senyuman, menunjukkan arah.
"Terima kasih encik." Senyum dan berlalu ke tempat dituju.
Amalan ringkas yang menjalinkan ukhwah semakin dilupakan.

MASTURINA BINTI MOHD ARIS

Jadi Cikgu
"Ummi, jadilah cikgu Ina di sekolah. Senang Ina hendak belajar. Ummi ajar dari tahun satu sampai tahun enam."
"Tidak boleh Ina. Ummi tiada kelayakan menjadi cikgu. Cikgu ganti saja boleh, apabila tiada cikgu. "
"Cikgu mata pelajaran Ina, selalu tidak ada. Sakit, cuti, Ummi boleh lah ganti."
"Kalau hanya satu hari, tidak boleh. Paling sedikit sebanyak 28 hari. Cikgu cuti bersalin dan berkursus baru boleh ada guru ganti."
Nur Maisarah masuk bilik Ummi dan membawa kerja sekolah bahasa Malaysia. Kerja sekolah mengenai ayat tunggal dan ayat majmuk.
"Ummi, kakak tidak faham apa itu ayat tunggal dan ayat majmuk."
"Ayat majmuk itu yang ada dan, dengan, selalu. Macam itulah. Ayat tunggal tiada semua itu."
Masturina menerangkan pada kakaknya Nur Maisarah.
"Pandainya Masturina. Macam mana Ina tahu membezakan ayat tunggal dan ayat majmuk."
"Ummi sudah terangkan pada Ina tahun lepas. Masa itu untuk penyambung ayat."
"Betul kata Masturina, kakak. Ayat tunggal tanpa penyambung seperti 'dan', 'atau', 'lalu' dam lain- lain perkataan berfungsi sebagai penyambung. "
"Emmmm. Baru kakak faham. Terima kasih Ummi dan Ina."
"Sama- sama. Masturina pun sudah boleh jadi cikgu. Tidak perlu lagi Ummi jadi cikgu Ina di sekolah. Ummi lebih selesa mengajar anak-anak di rumah. "

Kenduri kahwin dan pengantin.
4 April 2015
Berlangsung majlis pernikahan dan keraian anakanda saudara Wan Nor Farahain Atiqah binti Wan Ismail
"Ummi... Kak Iqah kahwin, Ina boleh duduk dekat tak."
"Boleh, Ina tanyalah Kak Iqah."
Pergi ke bilik Kak Iqah dan bertanya. Mendapat kebenaran, mulalah Masturina mebyibukkan diri berkepit dengan Kak Iqahnya.
Masturina membuat inai untuk Kak Iqah pakai. Membuat bunga manggar. Jurukamera untuk semua aktiviti Kak Iqah dan paling berharga dan tercatit dalam kenangan Kak Iqahnya. Jadi pengapit pengantin, tukang kipas.
Bila selesai majlis dengan senyum datang bercerita
"Penat Ina Ummi, sekarang Kak Iqah pergi tanggap gambar dekat luar. Ina rehat dululah."
Sebelum berehat sempat berbisik pada Ummi.
"Ummi, Along bila hendak kahwin"
"Along tidak cukup umur 18 tahun lagi."
"Along sekarang tingkatan enam, dah hendak 18 tahunlah tu"
"Ina tanyalah Along."
Mengeleng- ngeleng. Bersandar dekat Ummi dan terus tertidur.

Melawat saudara-mara di Kok Pasir, Kelantan. Bercerita dari satu topik ke satu topik.
Cerita berkisah Along Muhammad Asyhif dan Angah Muhammad Asyrif. Rancak bercerita, Masturina perlahan - lahan datang berbisik pada Ummi.
"Ummi, kenapa cerita pasal Along dan Angah je. Kenapa tidak cerita pasal Ina."
Opsss. Masturina hendak 'glamour'  Biar gambar bercerita.

MENDIDIK ANAK-ANAK

MENDIDIK ANAK-ANAK
Anak adalah amanah yang dipinjamkan kepada kita. Kita perlu mendidik mereka dengan baik untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Islam, sudah menyediakan contoh mendidik anak-anak. Ada empat tahap bagaimana mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) iaitu:-
Tahap pertama : Umur anak-anak 0 hingga 6 tahun.
Pada peringkat umur ini, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) menggalakkan kita untuk memanja, mengasihi dan menyayangi anak sepenuh hati. Mendidik mereka dengan berhemah, menerangkan sebab sesuatu perkara itu dilarang ataupun digalakkan. Mendengar segala pendapat dan luahan hati mereka. Mengikuti segala aktiviti yang mereka lakukan seperti bermain dan bercerita.
“ Cintai dan berikan kasih sayangi kepada anak-anak. Apabila menjanjikan sesuatu kepada mereka, maka tepatilah. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamu yang memberi mereka rezeki.” (Hadis Riwayat Ath-Thahawi).
Tahap kedua : Umur anak-anak 7 hingga 14 tahun.
Pada peringkat umur ini, kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Ini bertepatan dengan hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, Tidmidzi, Ad-Darimi, Ahmad, Ibnu Abu Syaibah, Ibnu Khuzaimah, Thahawy.
“Perintahkan anak-anakmu supaya bersolat ketika berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).”
Memukul mereka sekadar untuk menggerunkan dan peringatan. Jangan dipukul pada bahagian muka kerana ia adalah tempat penghormatan seseorang. Allah (subhanallah hu taala) mencipta sendiri muka Nabi Adam.
Tahap ketiga : Umur anak-anak 15 hingga 21 tahun.
Fasa remaja yang mempunyai sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak seperti berkawan dengan mereka. Berbual, bercerita dan berbincang setiap perkara yang mereka hadapi. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka. Elakkan mengherdik atau memarahi mereka, menggunakan pendekatan diplomasi adalah langkah yang bijak.
Tahap keempat : Umur anak 21 tahun ke atas.
Fasa ini adalah masa untuk ibu bapa memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak. Mereka perlu diberi kebebasan dalam membuat keputusan sendiri. Ibu bapa hanya perlu pantau, nasihat dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah.
“Didiklah anak-anak dalam tiga perkara: mencintai Nabimu, keluarganya dan tilawah al-Quran, sebab orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singgasana Allah bersama para NabiNya dan orang-orang yang suci, pada hari tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganNya.” (H.R. Ath-Thabrani dari Ali ra)