INSPIRASI

INSPIRASI
SURAH

Rabu, 21 Januari 2015

PERISTIWA KELAHIRAN ANAK-ANAKKU

Peristiwa Kelahiran Anak-anakku

January 2, 2011 at 12:34pm
Muhammad Asyhif bin Mohd Aris

November 1997 - Bulan ni, anakku yang sulung sepatutnya hadir ke dunia. Aku meminta cuti awal dua minggu sebelum tarikh dijangka bersalin iaitu 2hb. Anakku tidak mahu keluar lagi pada hari tersebut sehingga melewati 8 hari. Pagi 10hb. jam lebih kurang 2 pagi, air ketubanku pecah, habis basah kain batik yang aku pakai malam tu, lencun dan berbaul hanyir pula tu. Aku mengejutkan suamiku, suamiku bergegas siap ala kadar dan tolong siapkan diriku juga (terasa bahagia hidup jika selalu begini). Setelah itu dia memberitahu ibuku yang kebetulan datang ke rumah kami untuk menyambut kehadiran anak sulung kami. Suamiku membawaku ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang yang berhampiran rumahku di Taman Sri Andalas, Klang. Setibanya di hospital, aku terus pergi ke wad bersalin untuk mengikut prosedur biasa di sana. Waktu menunjukkan pukul 2.30am, jururawat yang bertugas ketika itu mengatakan lambat lagi, baru 2cm. Aku disuruh masuk ke wad bersalin untuk tunggu sampai betul-betul rasa sakit nak bersalin. Di wad ni, suamiku tidak dibenarkan berada lama kerana bukan waktu melawat.  Aku keseorang melawan perasaan, aku melihat kelilingku, masing-masing menyeringat dan berkerut muka menahan sakit. Aku tidak merasa kesakitan itu, malah aku masih mampu menolong seorang bakal ibu untuk ke tandas. Selang 3 jam lebih kurang pukul 5 pagi, ketika aku hendak membuang air kecil, aku lihat keluar air jernih berwarna hijau meleleh melalui betis. Aku memberitahu jururawat yang bertugas, kelam-kabut mereka dan segera memberitahu suamiku untuk hadir ke hospital semula. Aku ditolak ke bilik bersalin, aku diberi suntikan untuk rasa nak bersalin tapi sehingga pukul 3 petang, aku tidak merasa sakit untuk bersalin. Akhirnya aku diminta sain untuk pembedahan, begitu juga suamiku. Kata doktor bahaya kalau lambat sebab bayiku dah berak dalam perut, takut lemas pula. Lagipun aku merasa kurang tenaga setelah tidak makan melebihi 12 jam. Akhirnya lahirlah anak melalui pembedahan. Itulah, kata orang tua-tua jika hamil tu, setiap percakapan dan kelakuan perlu dijaga. Aku memang berdoa untuk tidak sakit bila bersalin, memang tak sakit tapi anak pertama dah dibedah,yang sepatutnya boleh lahir normal menurut doktor.Maka lahirlah anakku yang sulung pada tanggal 10 November 1997 jam 3.09pm bersamaan  9 Rejab 1418H, hari Isnin.

Muhammad Asyrif bin Mohd Aris

Usia anak sulungku 6 bulan, aku disahkan hamil lagi, tempoh hamil ini aku berselera sangat makan. Berat badan naik mendadak, air soya tidak pernah putus, kata orang nak anak putih.  Aku dijangka bersalin pada 25 April 1999 iaitu 9 Muharam, kalau nasib baik dapat tanggal 10 Muharam - hari Asyura (Banyak peristiwa berlaku pada tarikh ni) Aku bercadang untuk balik ke Kelantan untuk melahirkan anak ni pada malam Sabtu tanggal 23hb.tetapi pada malam Khamis 21hb. seperti biasa air ketuban pecah. Aku segeralah dikejarkan ke hospital yang sama dengan anak sulungku, memandangkan aku masih tinggal di Taman Sri Andalas. Proses bersalin tidak mengambil masa yang lama, mudah sungguh. Walaupun pada masa meneran tu aku tidak pandai sebab kira ini proses pertama kali aku bersalin normal. Bidan serta jururawat di situ risau juga sebab takut bekas jahitan kelahiran anak sulungku tu tertetas. Alhamdullilah kali ni bersalin normal walaupun kebanyakkan mkenyangka aku tidak boleh bersalin normal. Kuasa Allah, tiada sesiapa boleh menghalangnya.  Anakku ni sihat, putih macam anak Cina. Aku musykil juga pada mulanya, anak Cina ke bukan apa takut bertukar, tapi seingat aku masa melahirkannya tiada wanita Cina yang hendak bersalin. Sahlah anak aku tu, tilik punya tilik memang sah ada iras rupa aku. Confirm anak aku. Putihnya anak ini semasa lahir, kalau tutup lampu waktu malam nampak lagilah dia, bercahaya bersih, maklumlah bayi baru lahir. Sampai sekarang putih gebu dan kus semangat badannya. Hari Khamis 22 April 1999 bersamaan 6 Muharam 1420H pukul 10.03am lahirlah putera keduaku ini.

Selepas kelahiran putera keduaku, walau saban tahun aku hamil (kahwin lewat umur 29 tahun, jadi kalau boleh anak ramai sebelum 40 tahun, malahan pula umurku dan suami sebaya),aku mengalami keguguran apabila usia kandungan melebihi 2 bulan. Allah tidak memberikan rezeki lagi, sabar sajalah mungkin ada hikmah disebaliknya. Apabila kali terakhir aku hamil iaitu tahun 2002 dan mengalami keguguran juga, aku disahkan ada sis (ketumbuhan kecil sebesar kepala mancis) di dalam rahim. Menurut doktor sebab itulah aku tidak boleh hamil atau mengalami keguguran. Aku dinasihat untuk menjalani pembedahan kecil untuk buang sis tersebut. Yang menyedihkan doktor pakar sakit puan berbangsa India lelaki mencadangkan ovari kilang telur sebelah kanan dibuang. SuhanaAllah.... aku berdoa ya Allah jangan dibuang, kerana mahupun anak lagi, tak cukup dua orang. Terlalu sedikit bagiku ya Allah....Akihirnya Allah makbulkan doaku, alhamdullillah, Dr. yang menjalankan pembedahan tu hanya buat kaedah tebuk dan buang sis tu saja, katanya sis tu kecil sangat, sayang dibuang ovari. Syukur kepadaMu ya Allah, syukur sangat.

Nur Maisarah binti Mohd Aris

Bulan Mac 2005, suamiku diberitakan akan dihantar ke United Kingdom atas urusan pekerjaan teknikalnya oleh majikannya Proton Sdn. Bhd. Pemergiannya mengambil masa lebih kurang 3 bulan, macam biasalah nak berpisah lama ni, suamiku jalankan tanggungjawabnya memberi nafkah batin secukupnya.  Sepeninggalannya ke UK itu, aku tinggallah dengan 2 orang puteraku di rumah kami di Shah Alam (Apartment Proton yang dijual pada staf). Akulah yang menghantar dan mengambil mereka ke sekolah tadika, mujurlah sekolah itu sampai ke petang, kira campur asuhan sekalilah. Kalau tidak payah juga aku nak bekerja, yang bekerja 'gomen' ni terikat pada waktu kerja 8am -5pm. Lebih kurang sebulan pemergian suamiku, aku disahkan hamil lagi. Lebih mengembirakan kemungkinan bayi akan lahir tu perempuan. Alhamdulillah...alhamdulilah....alhamdulillah ya Allah. Kekawan pejabat mula mengata tentang kehamilanku tu, kata mereka" Nora  dapati post lajulah, suami dia hantar"yang lelaki, yang perempuan pula"Betul ke atau......". Mulut orang bukannya boleh  ditutup, biarlah apa mereka nak kata, yang aku pasti Allah masih menyayangiku dan memberi kelebihan untuk melahirkan lagi. Aku melahirkan anak ini di Hospital Selayang iaitu berdekatan dengan rumah keluarga asalku sebelum berkahwin di Taman Selayang. Pada mulanya jururawat di situ keberatan membenarkan aku bersalin di sana, aku memberi alasan berdekatan dengan emak yang akan menjaga aku selepas bersalin, tambahan pula pembedahan buang sis tempoh hari di sini juga.  Aku memilih Hospital Selayang ini sebab suami kita boleh melihat proses bersalin, kalau berani boleh sambut anak itu sendiri. Sakit bersalin tak lama, tapi proses meneran dan untuk melahirkan itu yang lama, maklumkan dah hampir 7 tahun tidak melahirkan. Tepat pukul 8.55am, hari Rabu 25 Januari 2006 bersamaan 25  Zulhijjah 1427 lahirlah puteri sulungku, comel macam anak patung. Aku memang berdoa jika si anak dalam kandungan ni perempuan, dia kutip semua kecantikkan, kepandaian dan segala yang baik dari kedua-dua belah pihak untuk membentuk peribadinya. Syukurlah kepada Allah, setakat umurnya mencecah 5 tahun bulan ni, nampakkan menepati apa yang dihajat. Lebih menyeronokkan kehadiran puteriku ni, ayahnya ada bersama, terasa kurang sikit sakit bersalin tu.  Lebih advantage lagi, anakku adalah yang pertama perempuan dilahirkan pada hari itu, sampaikan bila nak dicaj keluar dari labour room, jururawat bertugas tersilap tanda di borang pendaftaran kelahiran tu - lelaki. Nasib baik cepat sedar, kalau tidak naya kami, dituduh menculik anak sendiri.

Masturina binti Mohd Aris

Anak ini bertuah sungguh, sejak dari lahir sampai suka nak buat sendiri sesuatu perkara. Begini ceritanya, anak ini sepatutnya dijangka dilahirkan pada 17 Februari 2007, tapi sehari demi sehari sehingga melewati 11 hari baru ada tanda untuk melahirkan, keluar sedikit darah. Ops...tak ingat nak beritahu, anak perempuan tanda nak bersalin turun sedikit darah, anak lelaki air ketuban pecah. Itu bagi akulah,orang lain tak tahulah. Aku dihantar ke Hospital Selayang untuk bersalin oleh suamiku pada pukul 5 petang 28 Februari setelah turun tanda di atas. Setelah diperiksaan bukaan melebihi 2 cm, aku di tempatkan di wad bersalin. Sehingga pukul 8pm, rasa bersalin tidak ada lagi, jururawat terpaksa beri ubat paksa bersalin pada pukul 10pm. Oh dan-dan tu pula sakit nak bersalin, merengat habis... aku terus ditolak ke bilik bersalin jam 10.30pm, suamiku minta balik sekejap ke rumah emakku sebab anak ketigaku yang baru berumur setahun perlukan perhatian. Dua orang abangnya dah disuruh adikku menjaganya, kebetulan tinggal berhampiran dengan rumahku di Shah Alam, lagipun mereka bersekolah di Shah Alam, susah nak ulang alik dari Selayang. Sambung balik cerita tadi, melencung sekejap tadi. Sebaik tiba di labour room, jururawat memecahkan air ketuban. Setelah air ketuban pecah, resa bersalin semakin kerap, rasa nak terputus urat perut, sakit tak boleh nak ceritakan. Orang yang mengalami sajalah yang tahu. Berkat zikir serta doa sentiasa, kuranglah sikit rasa nak bersalin itu. Tepat pukul 52 minit pagi 1 Mac 2007 bersamaan 11 Safar 1428 hari Khamis, lahirlah puteri keduaku ni tanpa kehadiran ayahnya. Apabila ayahnya sampai sesudah Subuh dan diiqamatkan anak ini di wad, aku memberitahu suamiku satu perkara "Anak ini hadiah ulang tahun perkahwinan kita yang ke 11 bang". "Ya ke...(Memang lelaki kurang respon akan tarikh-tarikh begini, takut kena bagi hadiahlah tu, mujur tarikh lahir aku dia ingat, kalau tidak nak nangis dah. Tarikh ini mengikut kalendar tahun Masihi). Anakku yang ini, masa kecil lagi dah pandai berdengki dengan kakaknya sejak lahir lagi. Manakan tidak, apabila aku memangku kakaknya dia merengek untuk dipangku juga. Jadinya terpaksalah aku buat katil dua tingkat, seorang di riba dan seorang lagi dipangku dengan kedua belah tangan.  Kakak pun serupa rupanya, berdengki juga, semasa aku menyusukan si kecil dalam posisi mengiring macam nak tidur itulah, dia sanggup duduk celah peha aku untuk tidur, asalkan dapat tidur sebelah umminya.  Sampai sekarang mereka berdua berperangai begitu, sering berbakah dan berbaik semula. Dalam kegembiraan tahun itu, rupanya kesedihan mengunjung tiba. Ketika usia puteri keduaku ini  bulan, ibuku yang disayangi lagi dihormati telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.

Muhammad Asy'ari bin Mohd Aris

Mencukupkan kouta yang dibenarkan oleh kerajaan, mengikut dalam Perintah Am Bab C, peruntukkan cuti bersalin ketika itu iaitu sehingga 5 kali bersalin bergaji penuh. Anakku ini dilahirkan secara pembedahan segera apabila tekanan darah tinggi aku tidak turun sentiasa melebihi tahap normal. Aku dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)pada hari Isnin 12 Mei 2008 kerana sakit kepaka yang keterlaluan bagai nak pecah. Aku ditahan di wad bersalin untuk menstabilkan tekanan darah tinggiku itu, memandangkan usia kandungan ku baru mencecah 33 minggu. Pada hari terakhir aku di wad ini setelah tekanan darah tinggiku stabil, yang mana pada petang 15hb sepatutnya aku dicaj keluar,tiba- tiba aku mengalami kesakitan di kepala yang amat sangat semasa berada di bilik air untuk qadar. Aku terpaksa berpegang untuk keluar dari situ untuk ke katil. Kebetulan pula waktu itu sekumpulan doktor bersama Profnya hadir untuk melawat. Melihat keadaanku sedemikian rupa, aku terus dikejarkan ke labour room untuk bersalin paksa tetapi kena tunggu tekanan di bawah 150. Memandangkan tekanan darahku tidak turun setelah diberi suntikan untuk turunkan tekanan itu, aku diminta untuk menyain dokumen melakukan pembedahan. Rela tak rela, memandangkan sakit yang berterusan dan keselamatan bayi dalam kandungan, aku menyain dokumen jugalah. Kata doktor nak ikat sekali, aku terperanjat dan merasa menyesal pula menyain dokumen tersebut sebab bila dah ikat, mananya aku tak boleh ada anak lagi. Aku bertanya doktor "Suami saya dah tahu ke?" Katanya "Sudah, dia dah sain dulu membenarkan". Ya ke... selalunya payah suamiku nak membenarkan, sejak dari anak ketiga lagi doktor suruh ikat tapi dia tak bagi. Dalam percaya tak percaya aku redha menerima ketentuanNya.  Aku menjalani proses pembedahan yang agak rumit juga, mula-mula dibius separuh, aku terasa perutku dibelah dan bayiku dikeluarkan. Hari Khamis 15 Mei 2008 bersamaan 9 Jamadilawal 1429 pukul 5.56pm. Bila bayiku dikeluarkan, kata mereka anakku tu lelaki, alhamdulillah memang penutuplah tu mengikut petua orang tua. Apabila bayi telah dikeluarkan aku dibius penuh sebab rupanya ada ada sis lagi sekali disamping untuk ikat tu. Patutlah aku mengalami kesakitan yang lain dari 4x mengandung sebelum ini, rupanya ada sis. Dalam keadaan tidak sedar itu, aku seperti habis nyawa, pemandangan aku dah kosong seperti berada di dunia lain. Aku tidak tahu berapa lama peristiwa itu berlaku, yang aku tahu, aku sempat berdoa kepada  Allah "Kalau aku dipanjangkan umur untuk memelihara anak-anakku lagi terutama yang kecil ini, aku bersyukur. Kalau tidak, aku redha dia mengambil nyawaku ketika itu, semoga anak-anakku mendapat penjaga yang baik" Setelah mengucap dua kalimah syahadah, perkara di atas berlaku. Aku tidak tahu berapa lama aku berada keadaan coma tu, sedar-sedar aku berada di bilik ICU dan ramai saudara maraku dan suami datang siling berganti (Mengikut kata suami, dokror kata aku berada dalam situasi 50/50, doktor dah suruh panggil saudara mara datang. Patutlah ramai). Bila dah sedar dan keadaan aku kembali stabil, yang aku teringat bayiku, aku meminta suamiku membawaku berjumpa dengannya. Kesian bayiku terlalu kecil, dengan berat semasa lahir 1.354kg. Bolehkah dia survey untuk hidup, alhamdullah berkat susu ibu yang aku perah, bayiku bertambah berat hari demi hari. Sewaktu beratnya mencecah 1.7kg, dia dikeluarkan dari inkubator dan ditempatkan di wad P4 untuk berlatih menyusu badan. Lebih kurang lapan hari di wad P4 dan berat mencecah 1.8kg, berat dibenarkan dicaj keluar bagi bayi pramatang, tiba-tiba kejadian yang mendebarkan berlaku. Anakku tersedak susu yang diminumnya, tersekat di kerongkong, berhenti pernafasan 3 minit, biru keseluruhan badan dan terpaksa menggunakan kaedah CPR. Setelah pernafasan pulih semula, bayiku dikejarkan ke wad P1 ICU. Kata doktor oksigen tak sampai ke otak, yang boleh menyebabkan terencat akal.Selama sebulan jugalah anakku di wad ICU, dalam waktu yang sama pesakit yang meninggal di wad ini silih berganti. Melihat keadaan ini, aku tidak putus-putus berdoa dan melakukan solat hajat agar bayiku dipanjangkan umur. Manakan tidak, dalam wad ni, bayiku sering berhenti pernafasan. Aku tak tahu cara apa yang patut aku lakukan. Akhirnya aku mengambil keputusan mengajar zikir Subhanaalah, alhamdullillah,lailahhailallh dan allah hu akbar dan mengucapkan dua kalimah sahadah kepada anak kecilku. Kuasa Allah, anakku boleh mengikut. Bila dia berzikir dia naikkan 4 jari. Bila syahadah, dia naikkan 2 jari. Akhirnya anakku dikeluarkan dari wad ICU ni dan ditempatkan di wad P2. Anakku masih ditempatkan di wad P2 untuk belajar menyusu semula kerana buat masa itu, dia masih menggunakan tiub untuk minum yang disalurkan melalui hidung. Hampir 3 minggu di sini, anakku masih tidak dapat menyusu secara normal melalui mulut, dia terpaksa dicaj keluar memandangkan kekosongan katil di wad yang terhad, tambahan pula cuti bersalin tanpa gaji dan cuti tahunku telah habis digunakan. Semasa pulang ke rumah, aku suami isteri usaha memberi minum melalui tiub dan mulut juga. Anakku masih tidak dapat minum melalui mulut. Pelbagai usaha kami lakukan, akhirnya suamiku mengambil inisiatif membancuh susu akan diberikan melalui tiub itu dengan air yasin, diselang seli air bacaan 30 jus. Kami juga memberi anakku ini menghisap syering(picagari untuk makan ubat itu) dengan memberi jus jenama Tok Guru. Alhamdulillah usaha kami berkesan, anakku dapat menyusu secara normal ketika berumur 5 bulan. Aku ingatkan penderitaan berakhir di sini, rupanya Allah masih sayangkan anak ini. Dia kerap dimasukkan ke wad di PPUM dan SALAM akibat pneummonia, cirit birit dan macam-macam lagilah. Kata doktor pakar bayi pramatang, kesan akibat bayi pramatang ini akan berakhir, insyaAllah usia mereka 5 tahun.  Anakku semoga kamu kuat menghadapi ujian Allah terhadapmu. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan