MENDIDIK ANAK-ANAK
Anak adalah amanah yang dipinjamkan kepada kita. Kita perlu mendidik mereka dengan baik untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Islam, sudah menyediakan contoh mendidik anak-anak. Ada empat tahap bagaimana mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) iaitu:-
Tahap pertama : Umur anak-anak 0 hingga 6 tahun.
Pada peringkat umur ini, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) menggalakkan kita untuk memanja, mengasihi dan menyayangi anak sepenuh hati. Mendidik mereka dengan berhemah, menerangkan sebab sesuatu perkara itu dilarang ataupun digalakkan. Mendengar segala pendapat dan luahan hati mereka. Mengikuti segala aktiviti yang mereka lakukan seperti bermain dan bercerita.
“ Cintai dan berikan kasih sayangi kepada anak-anak. Apabila menjanjikan sesuatu kepada mereka, maka tepatilah. Sesungguhnya yang mereka ketahui hanya kamu yang memberi mereka rezeki.” (Hadis Riwayat Ath-Thahawi).
Tahap kedua : Umur anak-anak 7 hingga 14 tahun.
Pada peringkat umur ini, kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Ini bertepatan dengan hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, Tidmidzi, Ad-Darimi, Ahmad, Ibnu Abu Syaibah, Ibnu Khuzaimah, Thahawy.
“Perintahkan anak-anakmu supaya bersolat ketika berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).”
Memukul mereka sekadar untuk menggerunkan dan peringatan. Jangan dipukul pada bahagian muka kerana ia adalah tempat penghormatan seseorang. Allah (subhanallah hu taala) mencipta sendiri muka Nabi Adam.
Tahap ketiga : Umur anak-anak 15 hingga 21 tahun.
Fasa remaja yang mempunyai sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak seperti berkawan dengan mereka. Berbual, bercerita dan berbincang setiap perkara yang mereka hadapi. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka. Elakkan mengherdik atau memarahi mereka, menggunakan pendekatan diplomasi adalah langkah yang bijak.
Tahap keempat : Umur anak 21 tahun ke atas.
Fasa ini adalah masa untuk ibu bapa memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak. Mereka perlu diberi kebebasan dalam membuat keputusan sendiri. Ibu bapa hanya perlu pantau, nasihat dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah.
“Didiklah anak-anak dalam tiga perkara: mencintai Nabimu, keluarganya dan tilawah al-Quran, sebab orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singgasana Allah bersama para NabiNya dan orang-orang yang suci, pada hari tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganNya.” (H.R. Ath-Thabrani dari Ali ra)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan