INSPIRASI

INSPIRASI
SURAH

Ahad, 22 Januari 2017

TIPS MERANCANG - MEMILIH NAMA MENINGKAT POTENSI

"Ummi, apa maksud nama Abang?" Along Muhammad Asyhif bin Mohd Aris ingin tahu, ketika berbual santai di rumah ibu saudara sebelah Ayah. (Kg. Hutan Jambu, Koh Pasir, Palekbang).

"Kenapa? Jikalau Along tidak suka dan hendak tukar. Boleh ubah di Jabatan Pendaftaran Negara," sengaja menguji mengapa dia pentingkan maksud namanya.

"Nama Abang, orang asyik salah eja dan panggil. Abang tak tahu, hendak cakap macam mana," akui anak bujang ini yang kawal 'kacak'.

Itulah antara dilema Ummi, ketika sebaya Along dan untuk memilih nama pena. Melalui nama sebenar mengikut kad pengenalan, disusun terbalik, disingkatkan ejaan dan pelbagai cara lagi.

Akhirnya mengambil keputusan, nama pena dapat membentuk peribadi. Nama pena Puteri Nur Hidayah dipilih.

Secara umum, mengetahui 'Puteri' adalah nama diberi kepada anak perempuan raja atau sultan dan golongan bangsawan.

Putera puteri golongan bangsawan ini, akan dididik dengan kesopanan, keimanan dan kepimpinan. Protokol dan adat istiadat yang terpakai sehingga kini.

Menggunakan nama 'Puteri', diharap jikalau ada hajat melakukan perkara negatif akan terbatas. Apabila teringat tujuan asal memilih nama itu, 'Oh! Perlu menjaga nama baik 'Puteri' ini.'

Nama 'Nur', adalah 'Nor' daripada nama sebenar dalam bahasa Arab bermaksud cahaya.

Diharap dapat memberi 'cahaya' atau penerangan ilmu kepada sesiapa yang memerlukan. Isyarat, 'tanyalah apa perkara sekalipun. Insya-Allah akan dibantu'.

Nama 'Hidayah' pula, agar sentiasa mendapat panduan dengan rahmat dan keberkatan-Nya, sebagai hamba-Nya sepanjang menyampaikan ilmu yang sedikit sehingga menjadi amalan diri dan orang lain.

Itu mengenai nama pena sendiri. Pertanyaan Along Muhammad Asyhif, ini jawapannya.

Sebelum hamil Along, Ummi pernah keguguran 16 minggu. Ayah harap anak sulung kehamilan ini perempuan, nama Maisarah telah disediakan.

Apabila hamil Along, nama Maisarah masih Ayah mahu letak jikalau anak perempuan. Namun yang lahir anak lelaki. Ayah kalut, sibuk cari nama.

Kebetulan Ayah membaca kisah Nabi Sulaiman dan pengikutnya kalangan jin, bernama 'Ashif' (ejaan sebenar) seorang yang beriman dengan agama Allah.

Kenapa ada 'Asy' untuk semua anak lelaki Ummi;

Muhammad Asyhif bin Mohd Aris
Muhammad Asyrif bin Mohd Aris
Muhammad Asy'ari bin Mohd Aris

'Asy', singkatan 'Arasy-Nya' kedudukan tertinggi. (Gaya taksiran Ummi semata-mata, abaikan jikalau salah. Ummi tiada asas bahasa Arab pun).

Gabungan nama Muhammad (nama junjungan kita nabi Muhammad (selawat keatasnya) dan 'Arasy-Nya' kepada nama anak lelaki Ummi.

Agar mereka mengamalkan sunnah baginda dan menjadi pemimpin yang berwibawa, sekurang-kurangnya ketua keluarga nanti.

Begitu teliti Ummi mencari makna dengan nama. Gabungan nama, perlu dipilih agar membentuk peribadi. Sekarang mudah, sudah ada buku sahabat penulis ustaz Ahmad Saifuddin Yusof.

Cari ya sahabat sayang semua, sebelum memberi nama kepada anak, cucu dan semua keturunan kita.

Anak perempuan Ummi pula nama Nur Maisarah (nama Ayah simpan).

Nama Masturina, Angah Muhammad Asyrif yang cadangkan. Nama anak perempuan, memang Ummi minta Ayah fikirkan. Kami setuju pilihan Angah setelah melihat maknanya.

Pada mulanya hendak letak 'Nur' permulaan nama. Ayah kata nanti maksudnya 'Cahaya Yang Cerdik', bukan anak kita.

Begitulah nama yang Ummi pilih, termasuk nama binatang piliharaan yang menjadi kesayangan anak-anak.

Mereka akan tanya, "Ayam jantan ini hendak bagi nama apa? Arnab, lembu, kucing, semua ada nama untuk membawa rahmat dan keberkatan-Nya kepada keluarga kami.

Ummi Nur,
Sentiasa kerdil sebagai hamba-Nya



Caranya:


  • Pilih nama yang kita suka, minat dan senang disebut
  • Pilih sekurang-kurangnya tiga nama
  • Cari maksud nama itu, tidak kira bahasa.  Asalkan maksudnya memberi nilai positif dalam kehidupan kita.
  • Gabungkan nama-nama pilihan itu, mengikut kreativiti asalkan maksud tetap membawa nilai positif, untuk meningkatkan potensi cemerlang diri atau bisnes kita
  • Setiap kali dipanggil menggunakan nama itu, ia merupakan satu doa untuk kita



Tiada ulasan:

Catat Ulasan